Kenali Dunia Memancing

Memancing merupakan salah satu hobi atau aktiviti rekreasi yang dilakukan pada masa lapang. Aktiviti ini menjadi pilihan utama bagi sesetengah masyarakat tidak kira dari golongan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Kebiasaannya hobi memancing ini bermula dari awal persekolahan lagi, dan sentiasa berterusan sehingga mereka meningkat dewasa malah berumahtangga.Terdapat sesetengah masyarakat menganggap memancing merupakan aktiviti yang hanya  membuang masa. Ada juga yang berpendapat sekadar mengisi masa lapang, keseronokkan serta untuk mendapatkan pulangan semata-mata. Masing-masing mempunyai perspektif tersendiri mengenai hobi memancing ini mengikut apa yang mereka rasa dan lalui.

Bagi Abd Rahim Khairi, 33, memancing merupakan aktiviti masa lapangnya sejak berumur tujuh tahun lagi. Minatnya terhadap memancing sejak kecil telah memberi banyak pengalaman. Bermula dengan duduk di tepi parit belakang rumah dan hanya mengunakan batang kayu atau buluh, tali tangsi serta berumpankan cacing tanah, serangga dan roti sudah cukup baginya untuk melepaskan hasrat memancing bersama rakan-rakan.

Pada usia yang masih muda serta kurang berpengetahuan mengenai cara atau teknik memancing yang terbaik, beliau tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa menunggu sehari semalam untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Baginya hasil yang diperolehi akan memberi kepuasan yang tidak ternilai walaupun seekor ikan sahaja yang dapat ditangkap dalam masa satu hari.

Apabila beliau meningkat remaja, minat terhadap memancing tetap berterusan. Ketika itu juga beliau sudah mempunyai modal untuk membeli peralatan memancing seperti joran, umpan yang segar serta alat pancing sampingan seperti khemah, lampu dan sebagainya. Dalam usia yang meningkat matang, beliau banyak mempelajari daripada pengalaman-pengalaman lepas mengenai dunia memancing. Daripada pengalaman itu juga beliau telah menghasilkan cara dan teknik tersendiri mengenai pemancingan yang terbaik.

“Pengalaman yang telah banyak mengajar saya. Bermula memancing di tepi parit dan sekarang saya hanya tertumpu di kawasan yang lebih mencabar sahaja seperti lombong, tasik dan pantai. Untuk menjadi pemancing yang baik bukanlah sesuatu yang mustahil. Apa yang penting kita berminat untuk melakukannya serta kesungguhan dalam diri akan dapat mendorong kita sampai ke tahap yang lebih tinggi,” jelas Abd Rahim.

“Memancing adalah hobi yang santai. Ia membawa kita kembali kepada alam kedamaian jiwa dan minda. Justeru, hobi ini perlu dipraktikkan dengan penuh etika untuk mencapai keselesaan dan kedamaian serta memperolehi tumpuan. Terdapat beberapa panduan untuk memastikan kita dalam keadaan selesa, selamat dan memperolehi tangkapan terbaik bagi setiap kali memancing. Yang penting, kita benar-benar seronok memancing,” sambung beliau lagi.

Menurut Abd Rahim, daripada pengalaman yang dilalui, beliau serta rakan-rakannya membuat beberapa panduan atau etika yang sentiasa dipraktikan dalam diri mereka. Dengan cara ini juga beliau dapat melakukan aktiviti memancing dengan cara yang baik.

“Panduan ini amat penting bagi pemancing-pemancing terutama keselamatan mereka. Pertamanya untuk mendapatkan keselesaan ketika memancing, kita perlu sentiasa memastikan perut tidak kosong, ini kerana memancing dalam keadaan lapar boleh menyebabkan hilang tumpuan dan tidak berminat untuk memancing dalam masa yang lama. Pengambilan jus buah-buahan amat penting untuk tenaga dan kesegaran badan,” katanya.

Beliau juga tidak berkira soal membeli makanan bertenaga dan berkhasiat terutama untuk dibawa ke lokasi pancing.
 “Tenaga diperlukan untuk melakukan pancingan dasar, pancingan berumpan atau pancingan layang. Malah memancing adalah aktiviti fizikal yang memerlukan banyak tenaga. Jika anda mula terasa lapar, letih atau lesu, ini mula mengundang fikiran anda untuk pulang ke rumah.

”Penggunaan topi juga amat penting, katanya. Sekalipun anda mungkin lasak dan mampu melalui panas terik tetapi topi mungkin diperlukan jika hujan atau sebelah malam.

“Kepanasan sebenarnya turut melemahkan badan. Jadi dengan bertopi atau memancing di tempat yang terlindung, ini akan menjimatkan tenaga.” Jelas Abd Rahim lagi.

Pemancing-pemancing juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di tebing sungai, tali air, atau laut terutama ketika musim hujan.

 “Pada musim hujan, tebing ketika itu licin dan anda mungkin tergelincir. Sekiranya anda jatuh tergelincir, boleh menyebabkan pelbagai bentuk bahaya dan kecederaan. Malah tahap paling serius anda mungkin lemas dalam air,” sambung beliau lagi.

Selain daripada keselamatan yang perlu dijaga, pemilihan joran untuk memancing juga amat penting. Terdapat beberapa jenis joran yang digunakan sesuai dengan lokasi pilihan anda. Joran atau Fishing Rod atau Fishing Pole adalah alat untuk memancing berbentuk seperti tongkat. Biasanya digunakan untuk kegiatan sportfishing atau memancing untuk olahraga.

Sejarah joran bermula pada zaman Mesir, China, Rom dan Yunani kuno. Terdapat pertemuan dari transkip kuno mengenai penggunaan joran untuk memancing. Pada awalnya, joran diperbuat daripada bahan sejenis kayu atau buluh, tidak begitu lentur, berat dan mudah patah. Dengan adanya teknologi canggih pada zaman sekarang, kini joran diperbuat daripada bahan-bahan seperti fiberglass, grafit, grafit komposit dan karbon.

(Joran, 1990)  Terdapat beberapa jenis joran iaitu Surf Casting Rod, joran ini digunakan untuk memancing di tepi pantai. Panjang joran ini boleh mencapai sehingga lima meter, mempunyai reel yang kuat dan grip yang besar untuk dipegang mengunakan kedua belah tangan ketika melempar umpan. Biasanya lemparan umpan yang mengunakan joran ini boleh mencapai ratusan meter.

Ice Fishing Rod, joran yang biasa digunakan untuk memancing di danau, kolam, atau sungai yang beku dengan cara membuat lubang di ais. Fly Fishing Rod, joran ini pula digunakan untuk melempar umpan yang ringan dalam jarak yang jauh.

Trolling Rod, joran khusus untuk memancing dengan cara trolling, iaitu memancing dengan mengheret umpan atau memancing ketika kapal sedang bergerak dalam kecepatan tertentu. Bagi sesiapa yang berminat memancing di lokasi-lokasi berisiko tinggi joran yang sesuai digunakan ialah Baitcasting Rod. Joran ini mempunyai pemegang untuk jari telunjuk yang dikenali sebagai Trigger Grip atau Pistol Grip.

Selain itu, Spinning Rod digunakan untuk melempar umpan dengan jarak jauh. Joran ini selalu digunakan oleh pemancing kerana kemudahan yang banyak dan harga yang berpatutan. Popping Rod adalah joran untuk memancing dengan kaedah Popping, iaitu melempar umpan buatan dari kayu atau plastik yang disebut Popper.

Jigging Rod pula joran yang digunakan untuk memancing mengunakan umpan yang dilempar kemudiannya ditarik-tarik, atau dibiarkan umpan tersebut ke dalam air kemudian ditarik-tarik dengan cara yang tertentu. (500 Fishing Tips, Peter Horrobin)

Dalam aktiviti memancing, selain peralatan memancing yang lengkap, kaedah penyediaan dan penggunaan umpan serta memastikan lokasi juga amat penting untuk mendapatkan hasil tangkapan yang memuaskan. Penyediaan serta penggunaan umpan pula boleh dikategorikan kepada beberapa faktor termasuklah keadaan lokasi serta air.
Menurut Abd Rahim, kebanyakan umpan yang digunakan oleh pemancing lebih kepada penggunaan umpan segar dan hidup. Kebiasaannya sebelum melakukan aktiviti memancing, usaha mencari umpan hidup akan dilakukan, sama ada beli di kedai atau cari sendiri.

“Umpan yang digunakan perlu sesuai dengan lokasi memancing. Contohnya di kawasan laut dalam, kebiasaannya di kawasan ini terdapat ikan Tenggeri, Jemudu, Pari, Alu-alu, dan Merah. Umpan yang sesuai untuk memancing di kawasan ini ialah umpan ikan segar seperti ikan kembung, selar, tamban, tongkol dan sotong hidup.” katanya.

Tambah beliau lagi, aktiviti memancing di kawasan sungai, lombong dan tali air pula tidak memerlukan persiapan yang boleh dianggap terlalu berat, atau lebih tepat lagi ia dilakukan dalam jangka masa yang singkat seperti waktu memancing dan kawasan memancing yang berhampiran. Umpannya pula banyak terdapat di kedai-kedai dengan harga yang murah berbanding umpan air masin dan umpan air tawar. Antara ikan yang boleh diperolehi di kawasan ini ialah ikan Haruan, Patin, Jelawat, Talapia, Rohu, Lampam, Toman, Bujuk dan sebagainya. Umpan yang sesuai digunakan ialah, katak, cacing, anak udang, pisang, roti, anak ikan dan hati ayam.

Mengikut pengalaman yang dilalui oleh seorang lagi kaki pancing, Azman Ali, 28, aktiviti memancing di kawasan air masin terutama muara laut melibatkan pasang surut air. Tahap kemasinan air laut memainkan peranan bagi pemancing yang peka tentang keadaan dan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti memancing.

“Kebiasaannya ikan yang boleh diperolehi di kawasan air masin ialah ikan Siakap, Jenahak, Kaci, Tebal Pipi, Sembilang, Tetanda dan lain-lain. Umpannya pula ada yang boleh dibeli dan cari sendiri terutama apabila air surut dengan menggunakan jala dan sebagainya. Umpan yang sesuai digunakan ketika memancing di kawasan air masin ialah udang hidup, perumpun, tamban, wat-wat bakau, hirisan ikan, dan gewang,” katanya.

“Bagi pemancing yang gemar memancing di kawasan hulu-hulu sungai atau air tawar, kaedah penggunaan umpan di kawasan ini lebih kepada ikan-ikan yang menjadi penghuni sesuatu tempat. Biasanya ikan-ikan seperti Kelah atau Sebarau lebih menjadi buruan pemancing. Mungkin penyediaan umpan di sini boleh dianggap lebih remeh dari ikan air masin. Ikan-ikan di sini perlu ada ‘pemanggil’ agar berada berhampiran tempat memancing. Namun sekiranya ada seseorang yang sanggup meredah lokasi itu sendirian atau berdua mereka lebih kepada suasana yang sunyi tanpa memerlukan ‘pemanggil’. ‘Pemanggil’ yang dimaksudkan ialah seperti tukun, dari buah kelapa sawit atau ubi kayu yang diikat dan dibiarkan terendam di dalam air,” Jelas Mohd Haidin Samad, 35, yang cukup berpengalaman dalam dunia pancing terutama di kawasan air tawar.

 Ikan yang kebiasaannya terdapat di kawasan air tawar ialah ikan Kelah, Sebarau, Tengas, Kejor, Baung, Kalui, Kelisa dan sebagainya. Umpan yang sesuai digunakannya pula ialah, kelapa sawit, buah neram, ulat sagu, cengkerik, ubi kayu, cacing tanah, dan perut ayam.Menurut Abd Rahim, anda masih berpeluang untuk menyelamatkan ikan yang anda pancing daripada terlepas dengan cara mengawal joran mengunakan teknik yang tertentu.

“Tabiat sesetengah ikan terutama ikan yang berada di dasar laut atau sungai, untuk melepaskan diri ialah dengan cara melarikan diri di celah-celah batu karang atau pokok-pokok tumbang atau di celah akar kayu. Apa yang perlu anda lakukan, cuba halang perkara ini daripada berlaku dan ia memerlukan kemahiran tertentu. Jika ikan sempat mencari perlindungan, anda akan tertewas tapi jika anda ketatkan butang tarikan pada kekili, tali akan putus. Teknik yang sebaiknya ialah dengan cara menjatuhkan hujung batang joran selari dengan tarikan ikan tersebut. Biarkan ikan menarik tali itu dalam keadaan lurus. Selepas itu anda tarik semula tali pancing dengan mengangkat batang joran dalam keadaan selari dengan tarikan ikan itu. Perlu diingatkan, ketika anda menjatuhkan hujung joran ketika ia menerima tarikan, biasanya ikan berkenaan akan berhenti buat seketika. Jika keadaan seperti ini berlaku, masa itulah anda kawal ikan tersebut dengan melawan tarikannya pula. Dengan berbuat begini kemungkinan besar anda pasti berjaya menewaskannya,” katanya.

Tambah Abd Rahim lagi, dengan pengalaman yang beliau lalui hobi memancing ini amat baik disemaikan dalam diri setiap masyarakat. Perkara ini disebabkan kita bukan sahaja dapat mengetahui tentang dunia memancing malah dengan memancing juga dapat mengajar kita mengenai sifat kesabaran secara semulajadi. Pendedahan aktiviti memancing kepada golongan remaja juga amat penting kerana ia salah satu cara untuk menarik remaja supaya melakukan aktiviti sihat dan secara langsung dapat mengelak daripada terjebak dengan masalah sosial.  Selain itu, aktiviti memancing juga dapat membantu meningkatkan lagi produtiviti perlancongan negara.

–INDAH                                                            

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: